Wednesday, August 17, 2011

APA KHABAR MUZIK DANGDUT



Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

saharudin.musthafa@utusan.com.my



sekali lagi Utusan malaysia mengupas persoalan dan perkembangan lagu dan Muzik dangdut di Malaysia dan Indonesia melalu Mega, Selasa 16 Ogos 2011:



Apa khabar muzik dangdut?



PERSOALAN yang wajar ditanya oleh penggemar muzik ketika ini ialah apa khabar muzik dangdut?



Sama ada disedari atau tidak, muzik berkenaan semakin terpinggir daripada gelanggang industri muzik arus perdana.



Dangdut yang menurut sejarah muzik dikatakan berasal dari Indonesia juga semakin hari semakin tidak dipedulikan.



Itu realiti yang dapat dirumuskan mengenai persekitaran di Indonesia hari ini. Amat jarang sekali untuk mendengar lagu genre berkenaan di radio.



Bahkan, nama-nama besar yang memperjuangkan muzik dangdut juga sudah tidak aktif lagi.



Kalau sedekad yang lalu, superstar Inul Daratista yang terkenal dengan nyanyian dan geleknya yang penuh erotik dipuja ramai, kini dia sudah semakin sepi daripada arus industri muzik.



Sebelum Inul muncul sebagai ikon dangdut, penyanyi-penyanyi senior lain yang cukup masyhur ialah Rhoma Irama, Elvy Sukaesih, Camelia Malik dan ramai lagi.



Ketika era penghibur-penghibur tersebut, dangdut adalah seperti santapan harian masyarakat Indonesia.



Di mana-mana saja muzik genre itu dengan mudah mendapat perhatian sehinggalah beberapa tahun lalu, ia mula diketepikan oleh stesen-stesen radio.



Sebetulnya, nasib dangdut di Indonesia hari ini menjadi persoalan yang cukup besar di kalangan penggiat muzik itu kerana ia kini melalui zaman-zaman malap.



Nasib dan masa depan muzik dangdut di Indonesia turut mendapat perhatian sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan, The Jakarta Post yang mencetuskan persoalan apakah kegemilangannya sudah berakhir.



Justifikasi pada kesuraman muzik dangdut dapat dilihat menerusi kajian yang dilakukan oleh agensi kaji selidik, AC Nielsen Indonesia pada tahun ini.



Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan, daripada 14 juta pendengar radio di kotaraya Jakarta, hanya 28 peratus saja mendengar muzik dangdut pada suku pertama tahun ini.



Angka pendengar muzik dangdut menurun kepada 26 peratus pada separuh pertama tahun ini.



Menurut Hariyo Hadiwaseso dari agensi berkenaan seperti dilaporkan akhbar itu baru-baru ini, populariti muzik dangdut jatuh dengan mendadak bermula tahun 2007.



Penurunan populariti dangdut disebabkan oleh kemunculan muzik pop Indonesia yang mula mengambil alih kedudukannya.



Alasan yang dikemukakan itu barangkali ada benarnya kerana sejak kebelakangan ini, gelanggang muzik Indonesia semakin meriah dengan kehadiran artis solo serta kumpulan yang memperjuangkan muzik pop.



Negara Indonesia yang didiami oleh hampir 240 juta penduduk melahirkan artis baru hampir setiap hari.



Jika mahu disenaraikan barisan artis baru yang muncul, tentunya halaman ini saja tidak cukup untuk mengumumkannya.



Dengan ledakan teknologi dan pendedahan anak-anak muda terhadap muzik dunia ia dengan mudah membuatkan dangdut dilupakan.



Keadaan itu juga menyebabkan stesen-stesen radio di negara ini memilih untuk menyiarkan lagu-lagu yang memiliki elemen baru.



Sebaliknya, karya-karya yang bersandarkan pada nostalgia lalu sudah tidak memberi erti lagi kerana jumlah yang mendengarnya juga tidak mungkin untuk menarik perhatian para pengiklan.



Di Malaysia juga, muzik dangdut sudah tidak lagi diperkatakan.



Pejuang-pejuang muzik dangdut seperti Amelina, Iwan, Mas Idayu, Ifa Raziah, Haiza tentunya juga sudah semakin tawar hati kerana aliran muzik sedemikian bukan lagi diminati ramai.



Sebaliknya, muzik-muzik yang dipopularkan oleh band-band indie semakin mendominasi pasaran muzik tanah air.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...