ARKIB : 22/04/2000
Mas Idayu nilai dangdut dengan adil
DiIndonesia, dangdut adalah muzik kelas rendah yang dinyanyikan oleh pemuzik-pemuzik jalanan di tepi-tepi gerai makanan. Malah dangdut juga dianggap cetusan dan ratapan golongan marhain yang selalu dilihat tidak membawa imej elitis seperti muzik-muzik lain.
Di negara ini juga dangdut diberi tanggapan yang serupa. Ia bukan sahaja murahan malah memiliki imej yang direndahkan oleh kebanyakan penyanyi dan pencipta lagu dangdut sendiri.
Malah lebih mengecewakan lagi apabila dangdut telah disinonimkan dengan imej erotis dalam lagu. Ini membuatkan dangdut telah hilang keasliannya seperti yang dipopularkan oleh Rhoma Irama atau Elvy Sukaesih di Indonesia.
Tetapi sebagai karya, dangdut perlu diketengahkan ke ruang yang lebih luas sepertimana yang dilakukan terhadap lagu-lagu berirama lain.
Penyanyi Mas Idayu berpendapat lagu-lagu dangdut juga mempunyai mutu yang tersendiri dan hanya akan disenangi apabila seseorang menghayatinya dengan baik.
Katanya, dangdut perlu dinilai secara adil sebagai satu genre muzik untuk memberi peluang kepada muzik ini berkembang secara terancang dalam industri muzik tempatan.
''Sudah sampai masanya untuk kita menilai dangdut bersama-sama muzik lain. Jika sebelum ini dangdut terpinggir, saya amat berharap agar di masa depan ia tidak lagi dikaitkan sebagai muzik kelas dua,'' jelas penyanyi ini.
Mas Idayu melalui album Bolehlah Boleh menerima Anugerah Album Dangdut Terbaik di malam Anugerah Industri Muzik 2000 (AIM 2000) baru-baru ini.
Menurut Mas Idayu, tidak dinafikan masih ada pihak-pihak tertentu yang menilai dangdut sebagai muzik murahan dan bermutu rendah.
Sekalipun penjualan album dangdut adakalanya lebih hebat berbanding album pop biasa, masih ada segelintir masyarakat yang merasakan dangdut tidak sesuai dengan cita rasa masyarakat moden.
''Tanggapan orang-orang seperti inilah yang perlu diubah. Saya percaya jika mereka memberi ruang kepada telinga dan perasaan mereka menghayati keasyikan irama dangdut, mereka akan menemui sesuatu yang baru,'' jelasnya lagi.
Mas Idayu bakal mengorak langkah ke persada antarabangsa apabila ada rancangan untuk berduet dengan pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan menjadi kenyataan.
Menurut Mas Idayu, biarpun terpaksa menunggu dalam jangka masa yang agak lama untuk menzahirkan rancangan itu, dia terpaksa akur dengan keadaan.
Kesibukan Shah Rukh Khan membataskan peluang untuk menjadikan impian Mas Idayu sebagai kenyataan dalam waktu terdekat ini.
Meskipun pelbagai pihak meramalkan rancangan itu hanya impian kosong, Mas Idayu sentiasa berfikiran positif apabila memperkatakan mengenai topik tersebut.
''Saya percaya dengan perancangan syarikat rakaman. Lihatlah bagaimana mereka mengetengahkan artis seperti Zainal Abidin dan Sheila Majid ke dunia luar,'' kata Mas Idayu.
Menurutnya, dia percaya akan tiba masanya untuk dia menjejaki langkah mereka dengan muzik yang dipegangnya sekarang.
No comments:
Post a Comment