Wednesday, August 17, 2011

SLAMAT DATANG KE NEGERI DANGDUT

Berikut adalah bingkisan berita mengenai muzik Dangdut di Indonesia pada tahun 2003 yang lalu yang pernah tersiar du Utusan Malaysia dalam Ruanagan Jakarta Oh Jakarta



Selamat datang ke `negeri dangdut'



Jakarta Oh Jakarta Daripada Zulkefli Hamzah

SEMASA Siti Nurhaliza mendendangkan lagu Nirmala pada konsert terbuka Es Campur Es Didi Kempot di Pantai Festival Ancol, Jakarta dua minggu lalu, ribuan pengunjung terus mengangkat tangan ke atas sambil meliuk-liukkan tubuh mereka.



Tak pedulilah jika lagu Siti Nurhaliza itu irama Melayu, yang penting mereka mahu bergoyang. Bergoyang dangdut. Inilah joget dangdut, tangan meliuk-liuk ke atas sambil pinggul digoyang mengikuti irama muzik yang mendayu-dayu.



``Saya amat mengagumi perkembangan muzik dangdut Indonesia. Artis dan karyawan seninya begitu tekun mempertahankan tradisi muzik dangdut meskipun pada masa yang sama menerima saingan muzik dari luar,'' kata Siti.



Walaupun hanya lima hari di Jakarta, menurut Siti, dia dapat melihat perkembangan dangdut secara lebih dekat kerana hampir setiap hari ada program dangdut di televisyen termasuk yang disiarkan secara langsung.



``Banyak konsert dangdut... hampir setiap malam di Jakarta. Saya juga lihat ramai artis lama dan baru merakamkan lagu-lagu dangdut,'' katanya. Siti turut sempat muncul secara langsung di televisyen Indonesia dalam program KD (Kris Dayanti) Show dan Es Campur Es, kedua-duanya program hiburan dangdut.



Kekaguman Siti terhadap populariti dangdut tidak setakat itu. Dia berharap pendekatan yang digunakan Indonesia mempopular dan mempertahankan muzik dangdut dapat diterapkan di Malaysia bagi mengembangkan irama Melayu.



Itulah dangdut yang dapat dilihat oleh seorang primadona irama Melayu. Dangdut sudah menjadi sajian sehari-hari di sini, ditambah pula keghairahan stesen televisyen membuka pintu dan berlumba-lumba untuk menyediakan slot khusus bagi muzik `kampungan' ini.



Tiada hari tanpa dangdut dan tidak lengkap rutin seharian tanpa bergoyang. Mungkin itulah ungkapan paling tepat untuk menggambarkan perkembangan pesat muzik dangdut di pelbagai stesen televisyen di negara ini.



Bermula pukul 7 pagi, sudah ada program dangdut di stesen televisyen. Televisyen Pendidikan Indonesia (TPI) yang popular dengan jolokan TV Dangdut menawarkan Kuiz Dangdut (7-8 pagi) dan In Dangdut (8-9 pagi). Kuiz Dangdut juga boleh diikuti pada malam Selasa (7.30-8.30 malam).



Surya Citra Televisyen (SCTV) pula popular dengan program Sik Asyik yang menyiarkan program itu dari pukul 8-9 pagi pada hari Isnin hingga Khamis.



Seakan-akan sudah menjadi kebiasaan, sambil menikmati sarapan sebelum ke tempat kerja, masyarakat Indonesia perlu terlebih dahulu `dipanaskan' dengan goyangan hot dangdut.



TPI yang sejak dulu sinonim dengan program-program dangdut ialah stesen televisyen paling ghairah mempopularkan dangdut. Selain Kuiz Dangdut dan In Dangdut, stesen itu juga menawarkan program Pesta Pesisir/Aduhai secara langsung pada setiap malam Sabtu.



Ia diikuti dengan SCTV yang mempertaruhkan Laris Manis pada setiap Rabu dari pukul 9 malam hingga 10.30 malam selain Gondangdia pada hari Khamis (7.30-8 malam).



Stesen-stesen lain seperti TVRI, Indosiar, RCTI, Trans TV, AN-teve, Lativi dan Global TV turut tidak ketinggalan dan sekurang-kurangnya mempunyai dua program tetap untuk dangdut.



Umum menganggap mana-mana stesen televisyen yang tidak mempunyai program muzik dangdut itu kuno. Ia sama ertinya tidak mengetahui perkembangan muzik yang digemari masyarakat. Setiap majlis perkahwinan hingga pesta konglomerat atau pak menteri, pasti ada dangdut.



Muzik ini selain dapat memeriahkan suasana juga mampu membuatkan hampir semua orang hilang malu untuk bergoyang. Tidak ada aturan tetap langkah kaki, gerak tangan, mahupun kedudukan badan berbanding samba, salsa, cha cha atau lain-lainnya.



Memang di luar dugaan. Siapa menyangka dangdut boleh digemari sedemikian rupa sehingga menjadi wabak dahsyat yang sukar dibendung walaupun hakikatnya rakyat Indonesia masih terpukul dengan krisis ekonomi.



Dangdut telah menjadi ubat untuk menghibur hati di kala kemuraman ekonomi ini. Dulu dangdut dipandang sebelah mata sebagai muzik kelas bawahan dan hanya sesuai untuk majlis-majlis keramaian di kampung-kampung.



Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini dangdut telah masuk ke hotel-hotel lima bintang, kafe dan istana presiden. Malah sukar untuk membandingkan mana penyanyi pop, mana penyanyi dangdut.



Selain album dangdut yang berselerak di pasaran, kemunculan penyanyi baru atau kemunculan semula penyanyi lama yang membawakan irama paling diminati di Indonesia ini bagai cendawan tumbuh selepas hujan.



Bagi penggila dangdut tidak sukar untuk menghafal nama mereka. Ada Nunung Alvi, Ade Nurul, Aning Denadha, Nova Kharisma, Rana Rani, Santi Ramidhan, Yunita Ababiel, Cucun Novia, Luci Apriani, Gina, Sheila Dara Manis, Niken Arisa, Mala Madia, Yati Sentanu, Yulia Citra, Rosa Amelia, Shintania, Yenita Vera dan Thita Rosa.



Jika belum cukup, ada nama lain yang turut menghiasi layar televisyen seperti Eva Tamara, Evie Maria, Mia Violina, Okky Ardila, Ayu Almira, Rossi Milenia, Gadis Milenium, Trisna Lovia, Ikka Bella dan Kembar Srikandi.



Bagi orang Malaysia nama-nama ini tentunya begitu asing. Mereka muncul semasa `meledaknya' irama dangdut di Indonesia. Ini semuanya berkat perkembangan pesat akhir-akhir ini, semasa pelbagai stesen televisyen membuka pintu untuk muzik itu.



Kelas mereka sudah sama dan sudah lumrah bagi penyanyi yang dulunya bermegah serta fanatik dengan irama pop, beralih angin dengan menyelitkan lagu-lagu dangdut dalam album mereka.



Denny Malik umpamanya yang dulunya merupakan penyanyi pop, model dan pelakon berubah angin dengan memilih dangdut. Kesannya, sekarang siapa tidak kenal Denny Malik sebagai penyanyi dangdut?



``Aku enjoy dangdut. Shownya selalu dibuat di tempat terbuka, ertinya seorang artis perlu mampu membuatkan acara itu menarik kerana ditonton secara langsung oleh masyarakat,'' kata Denny Malik.



Bukan itu sahaja, ramai penyanyi pop dan pelakon popular pula tanpa segan silu menjadi pembawa acara dalam program-program dangdut sama ada yang disiarkan secara langsung atau rakaman. Dangdut telah menambah rezeki mereka.



Contohnya, Dessy Ratnasari yang beberapa kali menjadi pengacara dalam program-program dangdut di televisyen termasuk Digoda (Trans TV). Dessy yang beralih angin sejak akhir tahun lalu itu turut beberapa kali diberi kesempatan menyanyikan lagu-lagu dangdut.



Maklum sahajalah bayaran untuk tampil dalam acara-acara berkenaan cukup lumayan. Bagi artis yang sedang meniti karier bayaran untuk menyanyikan dua buah lagu tidak kurang RM1,000 manakala bagi yang sedang top kira-kira RM2,200.



Walaupun bayaran untuk penyanyi dangdut dinilai besar tetapi bagi stesen televisyen, dangdut tetap menjadi program yang dapat mengaut keuntungan khususnya dari iklan dan penajaan.



Untuk acara dangdut di sebelah pagi sahaja, contohnya TPI, harga iklan paling murah ialah RM2,200 per spot (30 saat). Jika ditayangkan selama sejam dengan tayangan iklan selama 12 minit, TPI dapat mengaut perolehan sebanyak RM52,000.



Tentunya perolehan akan bertambah besar jika tayangan itu dibuat pada waktu-waktu perdana dari pukul 7 malam sehingga 9 malam. Harga iklan termurah TPI pada waktu perdana itu ialah RM5,200 per spot.



Perolehan iklan pasti lebih besar setiap kali program itu ditayangkan secara langsung. Pesta Pesisir (TPI) rata-rata mengaut perolehan RM124,000, Joged (RCTI) RM130,000 dan Digoda (Trans TV) RM174,000.



Begitupun bagi program Pesisir yang kelihatan mewah itu, perolehan dari iklan itu masih belum mencukupi untuk menampung kos dan masih diperlukan penajaan yang biasanya perlu mengeluarkan wang senilai dengan biaya produksi.



Tetapi sekali lagi, tidak sukar untuk mencari penaja memandangkan konsert-konsert terbuka dangdut di luar studio mampu menarik kehadiran sekurang-kurangnya 5,000 penonton.



Lihat sahaja kehadiran Inul Daratista, yang goyang gerudinya menciptakan polemik sehingga membuatkan ulama marah tetapi pada masa yang sama ia mendapat restu masyarakat.



Begitu juga kemunculan penyanyi rock, Alam dengan suara serak-serak basahnya membawakan lagu Mbah Dukun telah memberi semacam tenaga tambahan bagi dangdut untuk terus menambat hati rakyat Indonesia.



Barangkali populariti muzik dangdut tidak akan menjadi seperti sekarang jika tidak ada orang seperti Elvy Sukaseh dan Rhoma Irama. Ratu dan Raja Dangdut itu sudah lebih sembilan tahun berjuang `membuka hutan belantara' muzik ini.



``Dulu menjadi penyanyi dangdut bukan satu pilihan hidup. Ia kerap dikaitkan dengan perkara-perkara buruk seperti wanita bar kerana sering pulang lewat malam. Tapi sekarang suasananya sudah jauh berubah,'' kata Elvy.



Tetapi baik Rhoma dan Elvy, perjuangan mereka membuahkan hasil lumayan. Bagi kedua-dua penyanyi senior ini, untuk sekali siaran di televisyen mereka dikatakan memperoleh bayaran mencapai ratusan ribu ringgit.



Sebenarnya dari mana asal dangdut? Ia dikatakan muncul pada tahun-tahun 1960-an semasa lagu-lagu Hindustan sedang memuncak di Indonesia dan Malaysia (Malaya). Irama Hindustan ini kemudiannya dimelayukan lalu dipanggil irama Melayu.



Walaupun iramanya bercampur baur antara Hindustan, Arab dan muzik etnik tempatan (Jawa, Sunda, Minang dan Madura) ia tetap dipanggil irama Melayu sehinggalah sebuah radio untuk golongan anak muda, Radio Agustina yang didirikan pada tahun 1966 menyebutnya dengan nama irama dangdut.



Pada awalnya ia mendapat bantahan termasuk oleh penyanyi dangdut sendiri dengan alasan ungkapan itu mencemarkan imej irama Melayu.



Tapi lama-kelamaan gelaran yang diberikan pada muzik berirama Melayu-Hindustan yang digunakan oleh Radio Agustina semakin diterima masyarakat manakala Radio Agustina yang memutuskan untuk menjadi saluran radio dangdut pada tahun 1970 terus popular.



Ternyata ghairah media mempersembahkan acara-acara khusus dangdut telah menyemarakkan lagi dangdut Indonesia. Penyanyi baru dengan goyang lebih menggoda dan panas bercampur baur dengan getar merdu suara penyanyi lama.



Tetapi apa pun keadaan dan suasananya dalam menghadapi protes sebahagian masyarakat serta saingan muzik Barat, mereka tetap bersama mengibarkan bendera dangdut.



Sebab itulah jika anda berkunjung ke Indonesia, ucapan pertama yang patut diberikan ialah selamat datang ke negeri dangdut. - MINGGUAN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...