Wednesday, August 17, 2011
TRIO MACAN CUBA NASIB
Tiga Macan cuba nasib
Oleh SYED MUSSADDAD MAHDI
mussaddad.mahdi@utusan.com.my
Foto HAFIZH KHOSMAT
Lokasi VISTANA HOTEL KUALA LUMPUR
TIGA Macan tidak pernah mengalah meskipun ditimpa kontroversi. (DARI KIRI) Liya, Dian dan Ayu.
--------------------------------------------------------------------------------
INI merupakan pertemuan kali pertama kami. Dalam pertemuan yang berlangsung, ternyata ketiga-tiga wanita sensasi ini cukup ramah untuk dibawa berbicara.
Semakin lama berbicara dengan Liya, Ayu dan Dian, semakin mesra dan cukup harmoni pertemuan pada petang itu. Mungkin khalayak Malaysia langsung tidak mengenali mereka apatah lagi tahu tentang kewujudan kumpulan ini.
Namun jangan pandang sebelah mata dengan kemampuan kumpulan yang menggelarkan diri mereka Tiga Macan, kerana di Indonesia gelek pinggul mereka cukup popular.
Mungkin masih belum dapat menandingi kehebatan Inul Daratista yang cukup popular dengan goyang gerudi, tetap ketiga-tiga mereka juga mampu beraksi dengan baik sekali.
Perjalanan yang dilalui oleh mereka memang cukup menarik untuk diketahui. Semakin lama duduk berbual ada sahaja cerita menarik yang terkeluar dari mulut setiap anggota.
Kata mereka, dulu kumpulan mereka bernama Trio Macan. Tapi selepas kemunculan mereka, banyak kumpulan penyanyi yang lain tanpa segan silu menggunakan nama yang sama.
Lantas banyaklah Trio Macan yang wujud di sekitar Kota Jakarta, Indonesia sehingga menyebabkan nama mereka kadangkala terpalit dengan cerita-cerita negatif yang cukup mencalar jiwa.
Paling terkesan apabila ada pihak yang iri hati dan menggunakan nama mereka dalam pelbagai persembahan pentas. Walhal mereka langsung tidak mengetahui apa-apa.
Seringkali menjadi mangsa keadaan, mereka nekad untuk bertukar pengurusan dan mengunakan nama Tiga Macan. Macan bermaksud harimau.
"Inilah yang seringkali terjadi pada kami. Semuanya gara-gara nama Trio Macan yang seringkali menimbulkan kontroversi tanpa berkesudahan.
"Paling membuatkan kami marah apabila ada yang sanggup membuat persembahan dengan begitu seksi dan berani mati. Lantas ramai yang mengecam kami sedangkan itu bukan kami.
"Jadi kami ambil keputusan untuk menukar nama kepada Tiga Macan dan mendaftarkan nama itu eksklusif untuk kami. Sekarang hidup kami lebih aman," kata Liya tertawa.
Ya, menjadi kumpulan muzik yang menyanyikan lagu-lagu dangdut memberikan rasa yang macam-macam buat mereka. Walaupun ramai yang menyangka muzik dangdut itu berada pada kelas kedua, tetapi Tiga Macan menafikannya.
Malah lagu SMS yang cukup popular satu waktu dahulu di Malaysia pernah dinyanyikan oleh mereka. Katanya lagi, siapa kata muzik dangdut itu duduk pada kelas kedua.
Namun sebagai anak seni menerima cabaran yang cukup sengit di persada muzik negaranya, Liya tidak menafikan yang muzik dangdut juga ada mendatangkan masalah kepada mereka.
Baginya muzik dangdut cukup popular dan diminati ramai jika dinyanyikan secara live. Tetapi akan timbul masalah jika dimainkan di radio kerana kurang mendapat sambutan menggalakkan.
"Ada orang kata dangdut mesti seksi. Tapi bagi kami seksi atau tidak itu tidak penting kerana semua itu mengikut kefahaman orang yang melihatnya.
"Malah selama ini kami masih belum menerima kecaman dari mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pakaian kami. Semuanya masih okey tanpa sebarang masalah," kata Ayu pula.
Untuk tahun 2010 ini sudah banyak perancangan yang diatur oleh mereka untuk lebih popular termasuklah meluaskan empayar di Malaysia. Lantas kunjungan kali ini bukan hanya tangan kosong, sebaliknya Tiga Macan datang dengan album baru
Rasa musykil mula bersarang dalam fikiran apabila melihat album terbaru mereka. Ya, semua lagu-lagu yang terkandung adalah lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lain termasuklah lagu Dokter Cinta.
"Kami cukup gembira dapat menyanyikan lagu-lagu ciptaan Ahmad Dhani. Walaupun ada yang mengatakan kami penyanyi saduran mahupun penyanyi yang hanya pandai menyanyikan lagu orang semata-mata, itu tak jadi masalah.
"Sebenarnya orang tidak tahu yang membawakan lagu yang pernah popular itu lagi sukar kerana kami perlu memberikan yang terbaik kepada peminat.
"Kami juga tidak mahu dikecam jika gagal membawakan lagu yang sudah popular dengan baik. Inilah cabaran yang paling besar jika mahu menyanyikan lagu orang lain," jelasnya lagi
Selain mahu menyiapkan video klip lagu Dokter Cinta, Tiga Macan juga cukup sibuk memenuhi undangan pentas di negaranya.
Labels:
Artikel Dangdut,
Trio Macan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment